X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang laksana PKPP, ikut Persekutuan: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan negeri itu menolak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP yang bermula esok seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Menurutnya, tuduhan itu terbukti salah kerana dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang pada 2 Jun lagi telah bersetuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih boleh dilanjutkan tetapi perlu seiring dengan pemulihan sosial ekonomi dan tertakluk kepada keputusan kerajaan Persekutuan.

Katanya, berasaskan prinsip itu semua agensi negeri diarah supaya menyediakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan yang ketat sebagai persiapan kemungkinan lebih banyak sektor sosial ekonomi dibuka kelak.

"Selepas kerajaan Pusat mengumumkan perlaksanaan PKPP dan memaklumkan akan adanya SOP yang akan diserah atau dikongsi dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap negeri untuk diteliti serta disesuaikan mengikut keperluan negeri masing-masing, Pulau Pinang juga tidak terkecuali untuk berbuat demikian.

"Sebagaimana ditekankan pada peringkat awal, sebarang keputusan yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah berdasarkan keseimbangan kesihatan dan sosial ekonomi rakyat negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan P Pinang perlu akur pelaksanaan PKPP: Ismail Sabri

"Malah apa yang dipraktik serta dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang sehingga ke hari ini adalah tidak pernah atau sama sekali melanggari akta atau undang-undang diperuntukkan oleh kerajaan Pusat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini Ismail Sabri mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang didakwa mahu mengkaji terlebih dahulu pelaksanaan PKPP meskipun kerajaan Pusat telah memutuskan PKPP akan bermula Rabu ini.

Menurutnya, akta untuk kawalan penyakit berjangkit ini hanya ada satu sahaja iaitu di peringkat Persekutuan kecuali Sarawak yang masih lagi mempunyai akta kawalan penyakit berjangkit Sarawak.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, dalam kenyataannya sebelum ini jelas menyebut Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP sejajar dengan usaha bagi mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dengan kehidupan rakyat, pembukaan secara berperingkat sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan serta keagamaan ke arah mencapai normalisasi pasca Covid-19.

Tambahnya, mesyuarat JKKN Pulau Pinang yang berlangsung pada hari ini untuk meneliti pelaksanaan PKPP di Pulau Pinang dan keputusannya juga diumumkan pada hari yang sama sebagai rujukan lanjut semua pihak di negeri ini.

"Ingin saya tekankan bahawa JKKN ditubuhkan atas arahan kerajaan Pusat dan Ketua Menteri dilantik sebagai pengerusi untuk memastikan kita dapat melawan Covid-19 secara menyeluruh dan bersama-sama.

"Oleh itu, Ismail Sabri tidak harus menganggap JKKN sebagai 'rubber-stamp' sahaja sebaliknya kerajaan Pulau Pinang sentiasa bersedia dan menyambut baik seruan serta sebarang pengumuman daripada kerajaan Pusat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!