Surau di pusat beli-belah, RNR dibuka semula esok: Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan surau-surau di pusat beli-belah dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dibuka semula bermula esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pembukaan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat solat di surau-surau, perlulah mengamalkan disiplin diri dan jarakan sosial.

“Gerai-gerai di kawasan R&R juga dibenarkan untuk beroperasi,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga bersetuju untuk membenarkan restoran, gerai-gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai-kedai serbaneka dan runcit untuk beroperasi sehingga 12 malam.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa jarakan sosial dan amalan kebersihan diri perlu diamalkan sentiasa.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula Zoo Negara dan zoo-zoo lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok sehingga 31 Ogos ini.

Menurutnya, ini kerana kerajaan telah menerima pembentangan mengenai SOP yang telah dibangunkan, pentadbiran zoo masing-masing.

Ketika ditanya mengenai pembukaan pusat seni, Ismail Sabri berkata, hal tersebut akan dibincang dan dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Khamis ini untuk keputusan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: