Kes Musa: Cetus pelbagai reaksi, kritikan pembangkang

Tangkap layar Twitter Syahrezan Johan.
Tangkap layar Twitter Syahrezan Johan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penarikan balik pertuduhan dikenakan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Mahkamah Tinggi hari ini menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kritikan pembangkang.

Peguam, Syahrezan Johan yang merupakan Setiausaha Politik, Lim Kit Siang menuntut Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk memberikan penjelasan berikutan keputusan yang dibuat untuk pengetahuan umum.

Menurutnya, ketika pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap Riza Aziz, Peguam Negara tidak memberitahu alasannya tetapi pada hakikatnya, Peguam Negara sebelumnya telah 'bersetuju secara prinsip'.

"Saya berharap bahawa AG (Peguam Negara) akan menjelaskan keputusan ini untuk menarik balik tuduhan terhadap (Tan Sri) Musa Aman. Ini adalah kes kepentingan awam," ciapnya di Twitternya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad ketika mengulas tindakan Peguam Negara itu menyifatkan bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilepas dan dibebas daripada semua 46 tuduhan rasuah sebagai pelik.

"Bebas 46 tuduhan. Semua 46 takde kes? Pelik bin Ajaib. Hari tu Reza, sekarang Musa Aman, lelas (lepas) ini? Boosku?," ciapnya di Twitternya hari ini.

Sementara itu, pemilik akaun Twitter dengan nama Norman Goh berkata, Musa menghadapi 30 tuduhan rasuah yang melibatkan AS$50.1 juta dan 16 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih daripada AS$37.8 juta dan AS$2.5 juta.

"Itu berjumlah AS$89.7 juta atau RM376.74 juta. Sekarang, semua kes dijatuhkan dan kami tidak tahu mengapa," ciapnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Musa dalam satu kenyataannya hari ini bersyukur kerana akhirnya beliau diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang telah dibuat ke atas dirinya.

Menurutnya, permohonan membatalkan pendakwaan difailkan awal tahun ini telah dibuat dengan cukup teliti dengan disokong keterangan dan dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah itu daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.