Gesa SPRM siasat Tommy, Guan Eng berhubung isu surat tular

Abdul Razib (empat dari kiri) bersama Exco DPPNPP hadir ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk membuat laporan tadi.
Abdul Razib (empat dari kiri) bersama Exco DPPNPP hadir ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk membuat laporan tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan surat Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng.

Timbalan ketuanya, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pihaknya membuat laporan tersebut bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh bekas Menteri Kewangan dan bekas Peguam Negara itu ketika dalam kerajaan.

Menurutnya, siasatan perlu dijalankan ke atas surat bertarikh 14 Jun 2019 yang kini tular di media sosial berhubung jawapan Tommy kepada Guan Eng bagi melepaskan akaun bank milik seorang Datuk yang dibekukan SPRM.

"Saya mewakili DPPNPP membuat laporan SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa antara bekas Peguam Negara dan bekas menteri ketika dalam kerajaan dahulu. Laporan ini dibuat susulan pendedahan surat bertarikh 14 Jun 2019 yang tular di media sosial dan portal berita baru-baru ini.

"Menerusi surat tersebut, ia didakwa memaparkan jawapan Tommy kepada permohonan Guan Eng yang meminta bekas Peguam Negara itu melepaskan akaun bank milik seorang individu bergelar Datuk yang dibekukan SPRM," katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Abdul Razib tiba di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah dengan diiringi beberapa Exco DPPNPP kira-kira jam 10.50 pagi, hari ini.

Tambahnya, surat tersebut juga pada perenggan lima menyatakan berdasarkan permohonan itu, bekas Peguam Negara telah bertindak mengarahkan SPRM untuk menarik balik pembekuan semua akaun milik individu terbabit.

"Saya percaya Guan Eng dan Tommy mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung telah menggunakan jawatan, kedudukan dan pengaruh mereka berhubung perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya meminta satu siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka di bawah Akta SPRM 2009 atau mengikut mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.