Lima lagi ahli Geng Vasu diberkas

Polis merampas 350 kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki hasil rompakan pecah kedai.
Polis merampas 350 kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki hasil rompakan pecah kedai.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis memberkas lima lagi ahli Geng Vasu yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua lelaki warga asing yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 26 hingga 35 tahun.

"Mereka ditahan secara berasingan di dua buah premis di Kepong dalam serbuan pada jam 5 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, kejayaan itu hasil maklumat daripada salah seorang rakan mereka yang telah ditahan sebelum ini.

"Kita turut merampas 350 kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki hasil rompakan pecah kedai," katanya.

Dalam kenyataan Nik Ezanee sebelum ini memaklumkan pihaknya telah menahan lapan individu dalam beberapa serbuan berasingan di ibu negara Rabu lalu.

Polis turut merampas empat kereta termasuk tiga yang dicuri terdiri daripada sebuah Suzuki Swift dan dua Proton Wira Aeroback serta sebuah Proton Perdana milik salah seorang suspek

Geng penjenayah itu disyaki melakukan tujuh kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Petaling Jaya dan dipercayai turut aktif di daerah lain termasuk Sungai Buloh sejak Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.