Sindiket dadah didalangi wanita Myanmar tumpas

Sahabudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dari kedua-dua tangkapan.
Sahabudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dari kedua-dua tangkapan.
A
A
A

GEORGETOWN - Sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang wanita Myanmar tumpas selepas empat ahlinya ditahan polis dalam tiga serbuan pada 5 Jun lalu.

Sindiket yang dianggotai oleh warga Myanmar itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini yang mana kesemua dadah dirampas adalah untuk pasaran tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, dalam operasi bermula jam 6.45 petang, 5 Jun hingga jam 8 pagi keesokannya itu, berjaya menahan tiga lelaki Myanmar termasuk wanita tersebut.

Menurutnya, tangkapan kesemua ahli sindiket itu bermula selepas polis menahan sebuah kereta yang dipandu seorang ahli sindiket itu di Jalan Baru, Bukit Mertajam.

"Kita menahan seorang ahli sindiket ketika memandu kereta dan berjaya merampas sejumlah dadah. Hasil soal siasat, kita menahan dua rakannya dan merampas dadah di sebuah rumah sewa di Bukit Tengah.

"Susulan penahanan itu, kita berjaya menahan dalang sindiket iaitu wanita berusia 45 tahun di sebuah kedai runcit miliknya di Bayan Baru. Kesemua yang ditahan adalah warga Myanmar yang berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Dadah bernilai RM1.27 juta yang dirampas dari kedua-dua tangkapan yang mana salah satunya dianggotai warga asing.
Dadah bernilai RM1.27 juta yang dirampas dari kedua-dua tangkapan yang mana salah satunya dianggotai warga asing.

Tambahnya, dalam ketiga-tiga serbuan itu, polis merampas 2,980 gram heroin base, 8,493 gram syabu dan 14,000 pil WY yang mana, nilai anggaran kesemua dadah tersebut adalah RM810,831.

Artikel Berkaitan:

Dalam serbuan berasingan, Sahabudin berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama dadah bernilai RM465,000.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan di tepi jalan pada jam 7 petang pada 5 Jun lalu di Bukit Tengah.

"Ketika ditahan, kita merampas sejumlah dadah di dalam kenderaannya. Selepas itu, kita memeriksa rumahnya dan turut menemui dadah. Kita merampas 4,533 gram serbuk minuman yang mengandungi dadah MDMA, 20 biji ekstasi dan 90 biji eramin 5.

"Lelaki ini tidak mempunyai kaitan dengan sindiket yang dianggotai warga Myanmar itu. Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada dia bergerak berseorangan atau ada individu lain terlibat. Polis juga masih menyiasat tempoh lelaki ini aktif dalam kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Sahabudin berkata, jumlah keseluruhan dadah dari dua kes tersebut bernilai RM1.27 juta dengan jumlah keseluruhan sitaan RM127,180.

"Bagi kedua-dua kes ini juga kita merampas wang tunai sebanyak RM87,180, dua buah kenderaan bernilai RM39,000 dan barang kemas bernilai RM1,000. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 129,500 penagih.

"Kesemua yang ditahan direman seminggu sehingga 12 Jun ini. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.