43 berita palsu Covid-19 di Johor: Exco

Gambar kecil: R Vidyananthan
Gambar kecil: R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah 43 berita palsu terutama berkaitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini sudah dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan dalam portal Sebenarnya.my dari Januari lalu hingga kelmarin.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, kandungan berita palsu daripada pelbagai sumber itu perlu ditangkis dan diperbetulkan kerana boleh menimbulkan suasana panik dan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

"Oleh itu perlu diingat, penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis sentiasa berganding bahu melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bagi tempoh tersebut juga, SKMM membuka 55 kertas siasatan berkaitan kandungan-kandungan yang bersifat palsu serta jelik dan dua daripadanya dari negeri ini dengan enam suspek sudah didakwa di mahkamah.

Katanya, orang ramai yang ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita dan untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan penyebaran berita atau kandungan palsu, dinasihati melayari portal Sebenarnya.my atau sertai saluran telegram Sebenarnya.my di pautan https://t.me/sebenarnyamy.

Jelasnya lagi, maklumat mengenai penularan berita yang belum ditentukan kesahihannya mengenai Covid-19 boleh disalurkan melalui ruangan Salur kepada Kami iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal atau melalui aplikasi Sebenarnya.my.

"Usaha menangani berita palsu adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, SKMM menasihati orang awam agar tidak menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

SKMM katanya, akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dalam mengawal penularan berita palsu demi kesejahteraan bersama-sama.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan jumlah kumulatif kes positif kekal 676 kes dan tiga daripadanya kes aktif.

"Tiada kematian baharu dilaporkan sehingga semalam dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal seramai 20 orang," katanya.