JAS bakal heret premis buang efluen ke Sungai Subang ke mahkamah

Gambar Sungai Subang bertukar hijau yang tular di media sosial.
Gambar Sungai Subang bertukar hijau yang tular di media sosial.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengheret sebuah premis ke mahkamah kerana didakwa membuang efluen sehingga menyebabkan Sungai Subang bertukar menjadi hijau.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya berkata, JAS Selangor akan menyiapkan kertas siasatan bagi mendakwa premis berkenaan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 [PPKAS (EP), 2009] dan seksyen lain yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Jika sabit kesalahan, pihak tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, JAS Selangor telah membuat serbuan ke atas premis berkenaan selepas mendapat aduan daripada orang awam.

"Pasukan penguat kuasa melakukan siasatan segera dan telah menyusuri kesan pencemaran sehingga ke hulu sungai.

"JAS telah berjaya menemui punca yang menyebabkan pencemaran berkenaan berlaku," katanya.

Kata kementerian itu, JAS telah berjaya menemui punca yang menyebabkan pencemaran berkenaan berlaku.

"Susulan pemeriksaan lanjut di kilang tersebut, JAS telah menemui tiga tong besar yang dijadikan tempat simpanan air sisa (efluen) daripada proses merendam kacang yang menggunakan pewarna hijau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) yang dipasang di kilang didapati tidak lagi beroperasi semenjak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia mendorong pemilik kilang menyimpan air sisa di dalam tong dan membuangnya ke longkang premis serta akhirnya mengalir ke Sungai Subang," katanya.

KASA dalam kenyataannya juga berkata, sampel air sisa dan enap cemar telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis komposisi buangan.

"Kesemua peralatan proses iaitu 20 tangki merendam kacang, tiga buah tangki simpanan air sisa dan SPEP telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan operasi kilang dan pencemaran serta-merta sehingga siasatan kes selesai," katanya.

Semalam di media sosial tersebar beberapa keping gambar Sungai Subang bertukar menjadi hijau sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan daripada penduduk setempat.