Kenyataan Pemuda DAP tidak bertanggungjawab

Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan Pemuda DAP yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai 'munafik' dalam berpolitik adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tuduhan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee itu tidak berasas dan dilihat sebagai satu kenyataan hanya untuk melepaskan dendam kemarahan.

"Kami mahu ingatkan dia supaya sedar diri dan tidak bodoh dalam membuat pernyataan melabelkan seseorang sebagai munafik.

"Sudah terang lagi jelas bahawa DAP dan Pakatan Harapan yang sebenarnya munafik akibat perbalahan merebut kuasa Perdana Menteri di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pentadbiran negara telah runtuh dengan sendirinya tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak,"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Howard Lee yang didakwa mahu Asyraf Wajdi segera muhasabah diri dengan sikap munafik politiknya.

Mengulas lanjut, Hariri berkata, pemimpin-pemimpin DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara hanya berpura-pura memberi pelbagai idea kononnya untuk membantu dan cakna kepada rakyat dalam kesusahan.

Beliau berkata, itulah watak sebenar munafik kerana ketika kabinet Pakatan Harapan berkuasa dahulu, mereka langsung tidak dipedulikan rintihan rakyat ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat menjadi mangsa dengan ketidaktentuan politik dan hala tuju ekonomi negara, ditambah lagi dengan kegagalan kerajaan PH dahulu mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Aturan takdir Allah SWT telah menggerakkan hati pimpinan gabungan parti Perikatan Nasional (PN) untuk bersama menyelamatkan negara ini dari komplot politik jahat yang didalangi oleh DAP ini.

"Kerajaan PN hari ini jauh lebih baik dan berkebajikan daripada Kerajaan PH yang penuh pembohongan dan kakistokrasi,"katanya.