Mak Iti tak boleh bercakap tapi pandai sebut 'La Ilaha Ilallah'


Siti Nuratikah (tengah) memerlukan perhatian kerana kerap memukul diri sendiri malah masih memakai lampin pakai buang selain tidak boleh bercakap tetapi pandai menyebut kalimah La Ilaha Illallah.
Siti Nuratikah (tengah) memerlukan perhatian kerana kerap memukul diri sendiri malah masih memakai lampin pakai buang selain tidak boleh bercakap tetapi pandai menyebut kalimah La Ilaha Illallah.
A
A
A

KOTA BHARU - “Dia tidak boleh bercakap tetapi pandai menyebut La Ilaha Illallah." Demikian kata ibu kepada seorang gadis yang tidak mampu bertutur akibat hiper autisme dihidapinya.

Raihanah Mat Jusoh, 56, berkata, hanya kalimah tersebut sering disebut anaknya, Siti Nuratikah Rosly Mohamed, 20, terutama apabila berdepan masalah kesihatan.

“Kalimah itu sentiasa diulang-ulang terutama ketika dia sakit,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seterpa, Peringat di sini hari ini.

Raihanah Mat Jusoh
Raihanah Mat Jusoh

Anak kelapan daripada 11 adik-beradik tersebut dikesan menghidap hiper autisme sejak berusia dua tahun ketika dia pada asalnya menjalani rawatan akibat masalah membuang air besar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Raihanah berkata, sejak mengetahui penyakit tersebut, pelbagai ikhtiar dilakukannya sama ada perubatan moden atau tradisional, selain turut membawanya menjalani terapi menunggang kuda serta renang di bawah bantuan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

“Pada usia 10 tahun barulah dia boleh duduk dan hingga sekarang hanya mampu mengengsot badannya di lantai untuk bergerak.

"Dia memakai lampin pakai buang manakala keperluannya pula perlu diuruskan orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perlakuan Siti Nuratikah menumbuk muka sendiri dan menghantukkan kepala ke lantai atau dinding berlaku tanpa mengira masa dan kadang-kala tanpa alasan munasabah kerana hiper autisme yang dihidapinya.
Perlakuan Siti Nuratikah menumbuk muka sendiri dan menghantukkan kepala ke lantai atau dinding berlaku tanpa mengira masa dan kadang-kala tanpa alasan munasabah kerana hiper autisme yang dihidapinya.

Mengulas lanjut katanya, Siti Nuratikah yang turut dikenali sebagai Mak Iti sering menumbuk muka sendiri malah kerap kali menghantukkan kepalanya ke lantai dan dinding rumah.

Katanya, kelakuan menyakitkan diri sendiri itu kerap kali dilakukan tanpa sebab malahan akan lebih teruk jika dia tidak berpuas hati atau menginginkan sesuatu seperti meminta dibawa keluar bersiar-siar.

Raihanah berkata, dalam tempoh sehari, anaknya itu perlu dibawa ‘makan angin’ dengan menaiki kereta atau motosikal ke mana-mana sahaja antara empat hingga lima kali.

“Pada waktu malam pula, kadang-kala dia tidak tidur sehingga lewat malam sebaliknya menangis dan merengek-rengek seperti seorang bayi.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ragamnya makin menjadi-jadi kerana tidak boleh keluar bersiar-siar tetapi baru-baru ini sudah pulih sedikit apabila mendapat kebenaran keluar berdua dan sekarang lebih lega kerana sudah boleh keluar untuk melunaskan keinginannya itu,” katanya.

Raihanah (kiri) menjaga dan menguruskan semua keperluan Siti Nuratikah sambil dibantu anak bongsunya, Siti Nur Shalehah dan sembilan lagi adik-beradik yang lain.
Raihanah (kiri) menjaga dan menguruskan semua keperluan Siti Nuratikah sambil dibantu anak bongsunya, Siti Nur Shalehah dan sembilan lagi adik-beradik yang lain.

Mengulas lanjut, Raihanah yang berniaga karipap turut berdepan cabaran membesarkan anak autisme termasuk tidak terlepas daripada pandangan serong masyarakat, namun memberitahu sudah lali dengan cemuhan segelintir pihak, selain mengakui ada juga yang mengeluarkan kata-kata menyinggung perasaannya sebagai seorang ibu.

“Bohonglah kalau saya tidak pernah berasa sedih dengan ujian ALLAH ini tetapi menjaga anak syurga sebegini membuatkan rezeki kami sekeluarga melimpah ruah, malah mulutnya yang selalu menyebut kalimah suci 'La Ilaha Illallah' itu sudah memberikan ganjaran pahala yang amat besar kepada saya sendiri.

“Saya hanya harapkan anak-anak yang lain terus membantu menjaga, menguruskan dan menyayangi Mak Iti dengan sepenuh hati selagi hayatnya masih ada,” katanya sayu.

Siti Nuratikah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN 03003-41-00000012-1.