Isu menang tanpa bertanding di PRK Chini

No Image Caption
A
A
A

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) N23 Chini, Pahang adalah pada 4 Julai 2020.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun ini.

Sememangnya melaksanakan PRK pada musim pandemik Covid-19 bukanlah tindakan mudah.

Banyak sudut perlu dipertimbangkan, malah kelangsungan PRK itu sendiri perlu ambil kira pelbagai pandangan dan perspektif berbeza.

SPR perlu memastikan proses PRK DUN Chini selari dengan arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan Covid-19.

Hal itu perlu dilakukan demi kepentingan negara dan tidak mengetepikan kemaslahatan serta keselamatan rakyat.

Bukan orang lain bahkan saya yakin jika kita sendiri sebagai pemilih tentu berkira-kira untuk kembali ke kampung menunaikan tanggungjawab mengundi atau berada di rumah bagi mengelakkan diri daripada terdedah risiko Covid-19.

Keadaan itu akan terus membelenggu diri meskipun kita tahu ada garis panduan pencegahan yang akan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan kawasan DUN Chini terus diwakili calon UMNO sehingga tempoh penggal berakhir.

Ini mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menunjukkan sokongan pengundi kepada UMNO yang diwakili Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Dalam usaha secara bersama menangani ancaman Covid-19, maka sudah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa berbanding tuntutan dan kehendak yang lain.

Pendapat bahawa lebih baik tidak diadakan pertandingan bagi mengelak risiko penyebaran juga perlu diambil kira bagi mengekang penularan pandemik tersebut.

Ketika penulis mengunjungi kediaman rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beberapa hari lalu bagi mengajukan persoalan ini, selaku Ketua Kerajaan Negeri Pahang jelas beliau berasa bimbang.

Kelihatan berat untuk beliau meluahkan, namun berbekalkan tanggungjawab besar yang terpikul di bahu, Wan Rosdy berkata, beliau akan menyarankan sesuatu yang mungkin dilihat tidak demokratik tetapi itulah penyelesaian terbaik.

“Dalam pada negara dan negeri dibelenggu penularan wabak Covid-19, saya mohon kerjasama semua pihak, parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada calon BN (UMNO) untuk menang tanpa bertanding pada PRK ini.

“Sekiranya semua pihak tidak bertanding, PRK DUN kawasan Chini khususnya tempoh berkempen 14 hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

“Dengan ini, ia dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan pandemik tersebut,” katanya.

Oleh kerana kini BN menjalin kerjasama erat dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) serta Pas sendiri meminta kerusi DUN Chini tidak dipertandingkan, ia akan memberi peluang kepada calon (BN) UMNO untuk menang mudah.

Ya walaupun kedengaran tidak demokratik, namun realitinya ia lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan supaya tidak bertanding.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar meninggal dunia pada 7 Mei di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Apa pun, kita sedia maklum Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi.

Mungkin ada kaedah lain perlu diperkenalkan oleh SPR mengikut perundangan termasuk menjalankan pilihan raya secara online.

Ketiadaan pertandingan pada PRK Chini mungkin boleh mendamaikan suhu politik tanah air.

Kita bukan menidakkan proses demokrasi negara tetapi kita bimbang kemungkinan Covid-19 merebak ketika kempen PRK.

* Nor Khalilah Gusti Hassan ialah Wartawan Sinar Harian edisi Pahang