Sekumpulan pelarian Rohingya mendarat di Langkawi

Kapal milik pihak berkuasa menunda kapal yang dinaiki etnik Rohingya.
Kapal milik pihak berkuasa menunda kapal yang dinaiki etnik Rohingya.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan pelarian etnik Rohingya dipercayai mendarat dengan menaiki bot di Jeti Teluk Ewa di Langkawi pagi tadi.

Bot yang membawa kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu didapati berada di kawasan perairan berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, polis membuat sekatan jalan dan tidak membenarkan orang awam melalui jalan mengarah ke pantai Pasir Tengkorak kira-kira jam 3 petang.

“Saya ketika itu dalam perjalanan hendak mengutip siput, memang tak tahu apa-apa bila polis suruh berpatah balik.

"Masa tu, ada nampak juga bot polis di tengah laut, tapi tak syak lagi ada etnik Rohingya mendarat sampailah saya tengok berita di laman sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, sebagai anak jati Langkawi, beliau sangat berharap pihak berkuasa meneruskan rondaan dengan lebih kerap.

"Negara kita akan memasuki fasa pemulihan pandemik koronavirus (Covid-19), kita tidak mahu kemasukan mereka ini akan meningkatkan penularan wabak ini," katanya.

Sementara itu, berdasarkan video yang tular di laman sosial, terdapat lima buah trak polis yang mengangkut PATI berkenaan untuk dibawa ke pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Bukit Malut.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, etnik Rohingya masuk di jeti berhampiran kilang simen dengan sebuah bot besar dan jumlah sebenar mereka belum diketahui sehingga kini.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas dari pihak APMM juga tidak berhasil.

Kejadian itu adalah kali ketiga dalam tempoh dua bulan apabila pada 5 April lalu lebih 200 kumpulan etnik Rohinya mendarat di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, di sini.

Kemudian pada 16 April lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengusir sebuah bot membawa lebih 200 pelarian warga Rohingya di kawasan perairan Langkawi.

ARTIKEL BERKAITAN: 202 etnik Rohingya ditahan di Langkawi

Siasat dakwaan cubaan pencerobohan etnik Rohingya