Covid-19: Ibadah korban berbeza di masjid Singapura tahun ini

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Tiada haiwan ternakan yang akan diimport ke Singapura bagi tujuan ibadah korban tahun ini sempena Aidiladha berikutan situasi pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, pihak masjid menawarkan khidmat korban yang dijalankan di Australia bagi memudahkan umat Islam berhasrat melaksanakan ibadah itu termasuk dagingnya kemudian dibekukan dan dihantar ke Singapura.

Masjid-masjid di republik itu kemudian akan meneruskan amalan mengagihkan sebahagian daripada daging tersebut kepada keluarga berpendapatan rendah dalam komuniti.

Timbalan Mufti Singapura, Mohd Murat Md Aris berkata, apa yang penting di sebalik amalan korban adalah intipatinya, iaitu umat Islam melakukan ibadat korban sebagai tanda bersyukur terhadap ALLAH SWT atas segala nikmatnya dan dilakukan dengan ikhlas untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT.

“Melindungi komuniti daripada kemudaratan dalam konteks sekarang adalah satu tanggungjawab dan pengorbanan besar yang boleh dilakukan umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), situasi yang tidak menentu berikutan Covid-19 menyulitkan proses untuk mengimport haiwan ternakan ke Singapura dan juga untuk melaksanakan ibadat korban di masjid di republik berkenaan pada tahun ini.

“Ini memandangkan keadaan tidak menentu dalam tempoh dua bulan mendatang dan proses untuk mengimport haiwan ternakan, mengedarkan haiwan itu ke masjid dan menganjurkan penyembelihan di masjid memerlukan pelaksanaan yang teliti dan perancangan awal,” menurut kenyataan tersebut.

Disebabkan keadaan itu, bagi sambutan Aidiladha pada tahun ini, masjid-masjid di Singapura akan menawarkan khidmat korban untuk memastikan umat Islam masih boleh melaksanakan ibadat korban tersebut dengan selamat. - Bernama

Artikel Berkaitan: