Kutipan cukai meningkat, bukti strategi PH berkesan

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan mengumumkan kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun 2018 berjumlah RM137.035 bilion, meningkat sebanyak RM13.733 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, peningkatan sebanyak 11.13 peratus itu mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara malah turut mengatasi pencapaian terbaik yang direkodkan pada tahun 2014 berjumlah RM133.700 bilion.

Menurutnya, peningkatan sebegitu jelas merupakan kesan daripada strategi efektif berkaitan percukaian ditetapkan PH.

“Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Selain mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan dalam tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, penjajaran semula strategi kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terbukti telah membuahkan hasil.

“Ketelusan dan tahap integriti tinggi PH dalam membelanjakan setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap pematuhan lebih baik dalam kalangan pembayar cukai

“Faktor-faktor ini secara langsung telah meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, mendorong mereka mengisytihar serta membayar cukai sepatutnya secara sukarela,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu memaklumkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) telah dilancarkan bermula 3 November 2018 dan akan tamat pada 30 Jun 2019 nanti.

Menurutnya, program itu akan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10 peratus dan 15 peratus.

“Sehubungan itu kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini.

“Ia bagi mengelakkan mereka dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80 peratus hingga 300 peratus apabila program ini tamat kelak,” katanya.