Dulu peniaga air balang, kini pengusaha ‘Madiana Aiskrim Perlis’

Nur Syazana bergambar aiskrim pelbagai rasa yang dihasilkannya di bengkel aiskrim miliknya di Kampung Kubang Siput, Arau.
Nur Syazana bergambar aiskrim pelbagai rasa yang dihasilkannya di bengkel aiskrim miliknya di Kampung Kubang Siput, Arau.
A
A
A

ARAU - Berbekalkan impian ingin maju dalam perniagaan dan membantu orang ramai khususnya suri rumah menambah punca pendapatan keluarga, sepasang suami isteri memasarkan aiskrim ‘Madiana Aiskrim Perlis’ di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Nur Syazana Rani,40, dibantu suaminya, Mohd Asmadi Saad,48, mula mendapat ilham memulakan perniagaan itu selepas mengikuti bengkel sehari membuat aiskrim di Alor Setar, Kedah pada tahun 2015.

“Pada awalnya, kami hanya menjual air balang di pasar malam selama lebih kurang enam bulan bermula pada pertengahan tahun 2014, namun beralih kepada perusahaan membuat aiskrim selepas melihat potensi besar dalam perniagaan tersebut.

“Setelah mendapat sambutan mengalakkan, kami mula membeli mesin pembuat aiskrim dan mencari ejen yang terdiri daripada suri rumah dan kedai runcit untuk memasarkan aiskrim pelbagai rasa seperti aiskrim buah-buahan dan perisa tempatan seperti aiskrim asam boi, kacang merah dan sebagainya,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, antara aiskrim perisa buah-buahan tempatan yang dihasilkan ialah aiskrim mangga harum manis; jagung; durian; tembikai dan banyak lagi.

Katanya, ramai pelanggan memuji aiskrim yang dihasilkannya setanding dengan aiskrim yang dijual di kedai kerana lembut, halus dan mempunyai rasa buah yang sebenar.

Nur Syazana berkata, beliau berasa bertuah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah banyak membantunya bagi mengembangkan perniagaan aiskrimnya.

"Antara bantuan yang pernah diterima beliau dalam mengembangkan perusahaan aiskrim ialah geran Agropreneur Muda Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM15,000, Geran Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan geran Pembungkusan Pelebelan masing-masing sebanyak RM20,000 dan RM3,000 daripada Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nur Syazana berkata, walaupun perjalanan dalam perniagaan masih jauh, beliau memasang impian untuk menjadikan ‘Madiana Aiskrim Perlis’ setanding dengan pengeluar aiskrim terkemuka dunia seperti ‘Baskin Robbins’.

“Walaupun impian itu agak mustahil untuk dicapai bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seperti kami, saya sentiasa berfikiran positif untuk buat yang terbaik sekurang-kurangnya memiliki rangkaian ejen seluruh negara satu masa nanti,” katanya.