Akta Hasutan 1948 'kebal', tidak perlu dimansuhkan

Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman.
Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Hasutan 1948 tidak perlu dimansuhkan kerana disifatkan sebagai undang-undang paling penting dalam negara ini.

Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman berkata, akta itu juga telah terbukti berjaya menjaga keselamatan negara daripada anasir jahat yang cuba mengganggu gugat ketenteraman negara.

"Saya terkejut dengan cadangan hendak memansuhkan akta ini, saya terlibat dalam pindaan Akta Hasutan 1948 ini pada tahun 1970.

"Akta ini adalah undang-undang untuk menyelamatkan negara, ia telah terbukti 'menjaga' negara selama ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di kediamannya, hari ini.

Katanya, menerusi akta ini, mana-mana pihak yang mahu mencetuskan masalah di dalam negara ini tidak berani berbuat demikian susulan kekangan daripada akta ini.

"Mereka tahu batas mereka, kerana sedar negara kita ada peruntukan khas," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menyifatkan Akta Hasutan 1948, merupakan undang-undang yang 'kebal' kerana ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan melainkan dengan persetujuan majoriti dua pertiga di Parlimen dengan perkenan Majlis Raja-raja.

Malah katanya, akta itu digubal bukan untuk menjaga orang Melayu sahaja, tetapi turut merangkumi semua bangsa dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Jika terdapat cadangan pindaan sekalipun, maka cadangan tersebut perlu disembah maklum kepada Majlis Raja-raja terlebih dahulu.

"Ia perlu dilakukan walaupun pihak yang mencadangkan pindaan itu yakin mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen. Selepas itu boleh dibentangkan di Parlimen dan selepas mendapat persetujuan majoriti dua pertiga, ia hendaklah dibawa semula ke Majlis Raja-raja untuk mendapat perkenan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, malah tindakan mencadangkan untuk menghapuskan akta tersebut juga adalah suatu kesalahan berdasarkan kepada seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

"Dalam seksyen itu jelas menyatakan mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut atau jika dilakukan akan mempunyai kecenderungan menghasut merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

"Mana-mana pihak yang mencadangkan untuk memansuhkan akta berkenaan berdepan tindakan jika disabitkan bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abd Aziz menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan mana-mana pihak berhubung perkara ini.

"Mungkin mereka yang mengusulkan pemansuhan akta ini tidak faham sepenuhnya, saya sentiasa terbuka untuk berbahas dengan mana-mana pihak," katanya yang juga merupakan pegawai undang-undang yang berpengalaman.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji enam akta sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan.

Enam akta itu adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Pencegahan Keganasan 2015; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, KDN akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan akta-akta itu dan hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.