Kenaikan harga tiket penerbangan membebankan

Kenaikan harga tambang melebihi 300 peratus dikenakan membimbangkan ibu bapa yang akan menghantar anak mereka untuk melapor diri di universiti awam akhir bulan depan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Kenaikan harga tambang melebihi 300 peratus dikenakan membimbangkan ibu bapa yang akan menghantar anak mereka untuk melapor diri di universiti awam akhir bulan depan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kenaikan harga tiket penerbangan membebankan orang ramai yang terpaksa menggunakan perkhidmatan itu untuk memulakan pergerakan ke destinasi jauh.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris berkata, syarikat penerbangan sepatutnya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga tiket dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Menurutnya, kenaikan harga tambang melebihi 300 peratus dikenakan membimbangkan ibu bapa yang akan menghantar anak mereka untuk melapor diri di universiti awam akhir bulan depan.

"Kenaikan harga tiket penerbangan bukan sahaja membebankan guru dari semenanjung untuk kembali bertugas di Sabah dan Sarawak.

"Sebaliknya, ibu bapa yang mempunyai anak ditawarkan melanjutkan pengajian di pusat pengajian di Sabah dan Sarawak turut terbeban dengan kenaikan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa Bersatu negeri di sini hari ini.

Razali (tengah) ketika mengadakan mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa Bersatu negeri di sini hari ini.
Razali (tengah) ketika mengadakan mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa Bersatu negeri di sini hari ini.

Katanya, perkara itu tidak wajar berlaku memandangkan hampir 95 peratus ekonomi masyarakat terutama yang bekerja sendiri terjejas teruk sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Jika harga tiket penerbangan masih tinggi, kita khuatir ramai bakal penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian luar semenanjung tidak dapat melaporkan diri akhir bulan depan," katanya

Semalam, kira-kira 2,000 guru dari semenanjung dilaporkan menghadapi masalah untuk kembali ke Sarawak selepas bercuti sepanjang PKP disebabkan harga tiket penerbangan yang terlalu mahal.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru berhubung permasalahan itu.

Katanya, mereka khuatir tidak dapat berada di sekolah masing-masing seperti yang diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, harga tiket penerbangan sehala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing sebelum PKP dikuatkuasakan adalah antara RM280 dan RM300.

Bagaimanapun, katanya, ketika semakan dilakukan melalui dalam talian, syarikat penerbangan menaikkan harga sehingga RM1,300 untuk sehala sepanjang bulan ini dan bulan depan.

"Kita mohon supaya kerajaan terutama Kementerian Pengangkutan berbincang dengan syarikat penerbangan supaya menurunkan harga tiket pada kadar biasa," katanya.