Utamakan kebajikan rakyat, PRU15 pilihan terakhir

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu menjadi pilihan terakhir jika kerakusan dan ketamakan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa tidak dapat lagi dibendung.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan pembangkang itu akan menyebabkan negara berterusan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan lantaran krisis politik berpanjangan.

Menurutnya, terdapat tiga faktor yang menjadi penentu dan sekiranya ia gagal dikekang dan dibendung, Perikatan Nasional perlu menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang membela nasib mereka dan bukannya sekadar sibuk berebut kuasa.

“Pertama, usaha pembangkang terutama PH yang berterusan mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dengan proses ‘jual-beli’ dan tarik tali kalangan ahli Parlimen untuk meruntuhkan kepimpinan negara yang sedia ada.

“Kedua, kedudukan kerajaan yang rapuh dengan majoriti yang amat kecil membuka ruang spekulasi dan permainan persepsi seperti yang dicetuskan Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang kononnya sudah memperoleh 129 sokongan ahli Parlimen.

‘Ketiga, kerajaan yang berterusan ditohmah dan dipersepsikan PH sebagai ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara sekaligus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan pelaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin yang mengisyaratkan kejayaan kerajaan dan rakyat hampir berjaya memutuskan rantaian koronavirus Covid-19.

Menurutnya, bagi Pemuda UMNO, keutamaan ketika ini harus difokuskan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan ekonomi negara segera dijana semula demi kesejahteraan semua terutamanya pasca PKP.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itulah PRU15 yang kembali menjadi topik perbualan hangat ketika ini harus menjadi pilihan terakhir jika beberapa senario dan faktor berikut tidak dapat dibendung lagi,” katanya.