Hanipa, kenapa double standard?, tanya Ahmad Puad

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap berat sebelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mempertahankan acara tarian melibatkan individu penting dalam satu majlis kelmarin dipersoalkan.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Ahmad Puad Zarkashi berkata, tema Majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019 itu adalah 'Keadilan Menuju Kehadapan'.

Katanya, tindakan itu tidak mencerminkan tema berkenaan, malah apa yang pernah dilakukan PH sebelum ini terhadap beberapa bekas Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara.

Menurutnya, sebelum ini, penyokong PH mengkritik tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang menari secara spontan dengan iringan lagu tradisional selepas selesai Majlis Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara.

"Bahkan Bar Council (Majlis Peguam) juga pernah dengan lantang mempersoalkan tindakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin kerana bercuti dengan seorang peguam, (Tan Sri) V K Lingam ke Auckland New Zealand pada 1994. Hujah mereka, ia 'morally wrong'.

"Maka soalan kita kepada Hanipa ialah kenapa 'double standard'? Tema Gala Dinner malam tersebut ialah “Justice: A Way Forward”.," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Video tarian hakim, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman]

[ARTIKEL BERKAITAN: Majlis tari-menari tradisi peguam]

Artikel Berkaitan:

Kelmarin tular sebuah klip video menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bersama Richard, Tommy dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim menari mengikut rentak lagu pada malam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata, majlis jamuan dan tari-menari sebenarnya sebahagian daripada tradisi guaman.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Mohamed Hanipa juga tersasar daripada isu pokok yang dipersoalkan rakyat.

"Rakyat bukan spin (putarkan isu) tari-menari tersebut kerana ia tidak patuh syariah. Tetapi seorang Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-undang adalah terikat dengan imej kesopanan dan kesusilaan kerana mereka adalah 'public figure' (tokoh masyarakat)," katanya.