Kerajaan P Pinang perlu akur pelaksanaan PKPP: Ismail Sabri

Ismail Sabri pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang didakwa mahu mengkaji terlebih dahulu pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) meskipun kerajaan Pusat telah memutuskan PKPP akan bermula Rabu ini.

Menurutnya, akta untuk kawalan penyakit berjangkit ini hanya ada satu sahaja iaitu di peringkat Persekutuan kecuali Sarawak yang masih lagi mempunyai akta kawalan penyakit berjangkit Sarawak.

“Saya pun tak faham kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, dia nak ikut akta mana kerana seperti saya katakan bahawa peraturan-peraturan yang diwartakan di bawah PKPB akan terbatal pada pada 9 Jun kerana kawalan yang baru di bawah PKPP akan diwartakan dan mula berkuatkuasa pada 10 Jun.

“Maka peraturan-peraturan yang lama di bawah PKPB terbatal dengan sendirinya kerana adanya peraturan baharu yang diwartakan jadi dia nak ikut yang mana? Tentulah dia terpaksa ikut PKPP yang diwartakan,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeon yang memaklumkan, kerajaan negeri akan meneruskan PKPB sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan berhubung pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, disebabkan negeri-negeri lain tidak mempunyai akta kawalan penyakit berjangkit maka Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu dirujuk.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh membuat peraturan-peraturan lain kerana di dalam perlembagaan persekutuan mana-mana akta atau peraturan negeri yang bertentangan dengan akta kerajaan Persekutuan adalah terbatal dan tidak boleh dilaksanakan.

“Jadi kerajaan negeri tidak ada pilihan apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan PKPP dengan peraturan yang diwartakan nanti maka negeri-negeri perlu akur kepada akta di bawah PKPP ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika tidak, mereka tidak boleh nak melaksanakan penguatkuasaan kerana tidak mempunyai akta,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sekiranya kerajaan Pulau Pinang tidak mahu melaksanakan penguatkuasaan, namun pegawai-pegawai di peringkat persekutuan seperti Polis Diraja Malaysia dan sebagainya boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Jadi saya harap kerajaan negeri terutamanya Pulau Pinang yang membuat kenyataan tersebut agar menggunapakai Akta 342 di negeri masing-masing,” jelasnya.