Ops Benteng gempur PATI habis-habisan: KPN

ABDUL HAMID
ABDUL HAMID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Benteng menggempur habis-habisan semua lorong tikus yang menjadi laluan keluar masuk pendatang asing secara haram di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini, ratusan individu dipercayai tekong darat yang terlibat dalam kegiatan terbabit telah diberkas.

"Kesemua suspek ini ditahan dalam operasi di semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Operasi kini masih dijalankan dengan serbuan di semua lorong tikus dan laluan-laluan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abdul Hamid berkata, proses pendakwaan ke atas kesemua tangkapan sedang dijalankan mengikut Akta Antipemergadangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan undang-undang lain yang berkaitan.

Hari ini, Polis Johor berjaya menahan 40 ahli kumpulan sindiket jenayah terancang yang terlibat kegiatan penyeludupan keluar masuk pendatang asing menerusi Ops Benteng sejak Khamis lepas di beberapa lokasi di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Johor dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) serta Bahagian Siasatan Jenayah Terancang Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Bukit Aman.

Dipercayai kumpulan terbabit telah bergiat aktif melakukan kegiatan mereka di sekitar pesisiran pantai timur Johor sejak tahun 2014 dan menguruskan 500 hingga 600 pendatang asing sebulan dengan bayaran RM1,200 hingga RM1,400 tiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Abdul Hamid berkata, usaha Polis Johor itu termasuk di bawah Ops Benteng Covid-19 untuk mengetatkan kawalan sempadan daripada dibolosi PATI dan juga pelbagai aktiviti penyeludupan.