Masih terlalu awal bincang kerusi

Mohd Kamaruddin Abu Bakar
Mohd Kamaruddin Abu Bakar
A
A
A

TAIPING - UMNO Bahagian Bukit Gantang menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan soal pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian itu dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar berkata, walaupun Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun beliau menegaskan kerusi Parlimen Bukit Gantang masih kekal status quo milik UMNO.

"Atas nama perjuangan dan agenda yang lebih besar, saya merayu kita semua kekal tenang dan tidak bertindak secara berlebihan untuk menjaga keharmonian PN di peringkat bahagian, negeri dan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Azahari Abdul Aziz; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud; ADUN Trong, Jamilah Zakaria dan ketua-ketua sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang hari ini.

Menurutnya, UMNO Bahagian Bukit Gantang akan berusaha memenuhi hasrat akar umbi mengenai kedudukan kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan tiga kerusi DUN di Parlimen tersebut iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang.

"Kita akan memperhalusi kerjasama dengan Syed Abu Hussin di peringkat bahagian memandangkan beliau menyertai Bersatu yang juga sebahagian daripada PN," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamaruddin berkata, semua pihak sewajarnya tidak memberi reaksi berlebihan terhadap keputusan bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu menyertai Bersatu kerana bimbang ia boleh menggugat kerjasama PN.

"Pemimpin dan semua ahli di Bukit Gantang tidak harus dilihat bercanggah dengan pendirian pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Perikatan Nasional yang masih 'longgar' ini perlu terus dipertahankan jika kita semua mahukan kerajaan yang ada ini terus kekal," katanya.

Sabtu lalu, Syed Abu Hussin menyerahkan borang menyertai Bersatu selepas menjadi wakil rakyat bebas sejak 27 Jun 2018.

Syed Abu Hussin sebelum ini membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ahli Parlimen bebas ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.