X

Kindly register in order to view this article
!

1.1 juta penjawat awam kembali bertugas mulai Rabu ini

Gambar hiasan.
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 1.1 juta penjawat awam akan kembali bertugas mulai Rabu ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir esok digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos.

Baki lagi hampir 500,000 penjawat awam di kalangan guru pula dijangka memulakan tugas masing-masing sebaik sekolah dibuka secara peringkat.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh PKPP.

Menurutnya, memandangkan sekolah masih belum dibuka sepenuhnya, sistem penggiliran dan bekerja dari rumah masih diteruskan mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam seperti Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 2 Mei lalu.

“Ketua Jabatan hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan tegas dalam perkara ini. Bagi menyokong ekonomi negara kembali berada di landasannya, saya menggesa semua projek-projek pembangunan diteruskan dengan kadar segera.

“Bagi projek yang benar-benar memerlukan lawatan tapak, aktiviti ini dibenarkan dengan mengamalkan kebiasaan baharu dan meminimumkan bilangan peserta,” katanya.

Dalam kenyataan sama beliau menjelaskan bahawa mesyuarat dan bengkel turut dibenar untuk dianjurkan dengan mematuhi prosedur keselamatan dan protokol kesihatan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujar beliau lagi, PKPP yang akan dikeluarkan MKN termasuk semua arahan pihak berkuasa hendaklah dipatuhi.

“Ketua-ketua jabatan perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan menyediakan cecair pencuci tangan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!