Peningkatan kes denggi merisaukan: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun hingga September ini susulan tren peningkatan secara berterusan yang direkodkan sejak enam minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod enam minggu lalu, didapati purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu dicatatkan.

"KKM ingin memaklumkan bahawa daripada bulan Januari 2020 sehingga 6 Jun 2020, terdapat sebanyak 48,584 kes demam denggi dilaporkan berbanding 54,524 kes bagi tempoh sama pada tahun 2019 (iaitu penurunan sebanyak 11 peratus).

"Tren penurunan kes demam denggi ini turut dilihat di kebanyakan negara ASEAN yang lain.

"Namun begitu, sejak enam minggu lalu didapati kes demam denggi mulai menunjukkan tren peningkatan secara berterusan iaitu dengan purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.

Menurutnya, sepanjang tempoh yang sama bagi tahun ini juga, 84 kematian kes denggi telah dilaporkan

berbanding 83 kes pada tahun 2019.

Katanya, berdasarkan siasatan awal terhadap 84 kes kematian demam denggi dalam tahun ini, didapati 11 peratus telah lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula dilaksanakan pada 10 Jun 2020, lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

"Kemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama tertutup dan tiada pergerakan orang ramai lalu berisiko menjadikannya tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Sehubungan, Dr Noor Hisham meminta orang ramai orang supaya mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing terutamanya di mana takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

Katanya, usaha membanteras nyamuk aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, sepertimana

juga masyarakat telah berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).