Kedudukan Bersatu dalam PN tak selamat

MASZLEE
MASZLEE
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila UMNO menolak pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai badan formal.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Maszlee Malik menjangkakan perkara itu susulan beberapa siri kenyataan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO termasuk kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini.

"UMNO menolak pendaftaran PN sebagai badan formal. Kata beliau (Mohd Puad), Bersatu sahaja yang sedang berusaha untuk ‘formalise’ penubuhan PN kerana ia merupakan satu-satunya jalan 'survival' Bersatu.

"Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO menyatakan pendirian sedemikian. 'Tok Mat' Negeri Sembilan, Nur Jazlan, Ku Nan dan lain-lain MT (Ahli Majlis Tertinggi) UMNO juga telah menyatakan pendapat yang sedemikian. Pendek kata, UMNO tidak perlukan Bersatu. Bersatu yang perlukan UMNO," katanya dalam kenyataan di blognya.

Terdahulu, Mohd Puad berkata, UMNO tidak akan menyertai PN secara rasmi jika gabungan itu didaftarkan pada masa akan datang dan mendakwa ia berbeza dengan hasrat Bersatu yang ingin menjadikan PN sebagai pertubuhan rasmi.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, UMNO dan Pas juga mengadakan perbincangan di Ibu Pejabat UMNO untuk persediaan menghadapi PRU15 dan perbincangan itu tidak melibatkan Bersatu.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan berapa banyak Pas sanggup mengorbankan kerusi untuk memberi laluan kepada UMNO dan Bersatu bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Mengulas mengenai sejarah penglibatan Pas dalam rundingan pembahagian kerusi semasa dalam Pakatan Rakyat (PH), beliau berkata, parti itu telah meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan Sungai Aceh sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru dan menjejaskan kemenangan PH ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu, pada PRU14 pula, sebanyak 46 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Bersatu, UMNO dan Pas yang memperlihatkan 30 kerusi berpihak kepada UMNO, 10 Bersatu dan enam dimenangi Pas.

"Adalah hampir mustahil untuk Pas dan UMNO sedekahkan 36 kerusi yang dimenangi mereka kepada Bersatu. Malah untuk mengekalkan dikotomi 10 kerusi sedia ada itu pun adalah amat meragukan," katanya.

Katanya lagi, semasa PRU14 lalu juga, sebanyak empat kerusi Bersatu bertanding melawan MIC, MCA atau Gerakan sambil memberitahu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan MCA mampu merampas semula kerusi Bersatu.

"Terdapat dua kerusi lagi, Kota Tinggi dan Pengerang telah berlaku pertandingan satu lawan satu antara Bersatu dan UMNO.

"Selaku Presiden Bersatu dan orang Johor, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berunding agar UMNO memberikan laluan kepada Bersatu bertanding di Kota Tinggi dan Pengerang tanpa tentangan?" katanya.

Maszlee turut berpendapat bahawa kawasan yang rata-rata pengundinya bukan Melayu yang telah disandang Bersatu tidak lagi akan diberikan kepada Bersatu kerana kemenangan di bawah PH sebelum ini ialah hasil daripada sokongan DAP dan peluang untuk Bersatu menang di kawasan seperti itu di bawah PN sangat tipis.

Menurutnya, antara kawasan tersebut ialah Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah dan Simpang Renggam dan di pantai timur pula, Bersatu boleh tutup kedai kerana tiada sebab Bersatu perlu bertanding.

"Sebanyak 16 kerusi daripada 34 kerusi ditandingi Bersatu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, semua kerusi Bersatu kalah dengan mendapat undi hanya 101,488 daripada 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di pantai timur hanya 11.5 peratus.

"Saya memberikan senario yang mudah sebegini untuk memahamkan ahli dan akar umbi, bergayut di atas dahan PN adalah jalan yang sukar dan payah. Itu pun jika PN setuju ditubuhkan oleh UMNO dan Pas," katanya.

Beliau berkata, hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan daripada UMNO yang mengesahkan untuk bertanding pada PRU15 menerusi PN.