JPNJ keluarkan sijil, benarkan eksport ikan

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah 351 sijil kesihatan ikan sudah dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) bermula 2 April hingga 3 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, sijil berkenaan perlu bagi membolehkan aktiviti mengeksport ikan hidup diteruskan selepas dihentikan sementara sebelum ini.

"Sijil kesihatan merupakan keperluan sesetengah negara pengimport dan perlu merujuk kepada kehendak negara pengimport. Pengeluaran sijil kesihatan dapat memastikan makanan dan bahan makanan mematuhi keperluan ditetapkan.

"Ini sekali gus dapat memastikan keselamatan makanan yang dieksport," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, JPNJ komited dalam membantu golongan nelayan dan penternak akuakultur bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Antara inisiatif yang diusahakan katanya, termasuk memberi pengecualian kepada nelayan meneruskan operasi menangkap ikan bagi lesen yang tamat tempoh semasa PKP dan PKPB.

Bagaimanapun katanya, semua vesel perikanan yang tamat tempoh sah lesen, pembaharuan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan harus dilakukan sebelum 30 Jun ini manakala permohonan permit kru bukan warganegara Malaysia boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi e-mel.

"Ia dimulakan dengan vesel-vesel bagi zon C, C2 dan C3 yang boleh diperbaharui bermula 12 Mei lalu, vesel-vesel Zon B bermula 18 Mei lalu dan vesel bagi Zon A yang dilakukan bermula 2 Jun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan Pakej Rangsangan Ekonomi prihatin Rakyat yang diumumkan baru-baru ini, beliau berkata, penternak ikan di negeri ini juga diberikan pengecualian sewaan bagi kemudahan akuakultur bermula 1 April hingga 30 September ini iaitu dalam tempoh enam bulan.

Beliau memberitahu, setakat 3 Jun lalu, 84 surat pengesahan dalam aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan serta notis pengoperasian premis yang terlibat dalam aktiviti rantaian makanan dikeluarkan JPNJ kepada penternak bagi membolehkan operasi ternakan akuakultur diteruskan.

Pada masa sama katanya, inisiatif yang membantu meringankan beban penternak adalah dengan memberi pengecualian pembaharuan sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Salinan Sijil Kualiti Ikan (FQC) sehingga tamat tempoh PKP dan PKPB.

"Sijil tersebut merupakan pengiktirafan terhadap ladang-ladang akuakultur yang mengamalkan amalan ladang akuakultur yang baik," ujarnya.