X

Kindly register in order to view this article
!

'Kami berhutang nyawa'

Norsatina (dua dari kiri) bersama abangnya, Mohd Hirdaus Mat Salleh, 32, dan kakak ipar, Nurul Hidayatul Akma Salihan, 33, menyampaikan ucapan terima kasih kepada Muhammad Nor Imran.
A
A

BAGAN DATUK - "Terima kasih kepada mereka yang menyelamatkan kami daripada insiden lemas itu, jika tidak belum tentu kami hidup," kata Norsatina Mat Salleh, 18, seorang daripada lima remaja perempuan yang terselamat selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah, 27 Mei lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari itu, kesemua mereka diselamatkan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, dan sepasang suami isteri Amirul Naim Harun, 27, dan Nurul Fazilah Mohd Nazarudin, 27, yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Norsatina yang menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan selama lima hari akibat tidak sedarkan diri mengakui, insiden itu benar-benar memberi kesan seolah dirinya mendapat peluang kedua untuk hidup.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam keadaan separa sedar menyedari kehadiran beberapa individu berusaha menyelamatkannya yang hanyut dibawa arus, namun tidak dapat mengecam wajah mereka.

"Saya bersyukur kerana tuhan masih panjangkan umur kami semua dan sejujurnya kami sangat terhutang nyawa kepada mereka kerana sanggup bergadai nyawa membantu, walaupun sebenarnya tidak saling mengenali," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Norsatina yang kian pulih bersama tiga lagi rakannya datang bertemu Muhammad Nor Imran di kediamannya di Hutan Melintang bagi menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih.

Dia turut berkesempatan membuat panggilan video bersama Amirul Naim dan Nurul Fazilah yang kini berada di Shah Alam, Selangor kerana bertugas.

"Apabila sudah dibenarkan keluar hospital, saya dan rakan-rakan berhajat untuk mencari dan bertemu dengan mereka untuk ucap rasa terima kasih, ALLAH sahaja yang dapat membalas budi mereka.

"Kejadian itu tidak akan saya lupakan, selepas ini saya dan rakan mahu fokus kepada pelajaran dan akan melanjutkan pengajian masing-masing," katanya yang mendapat keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru sanggup mempertaruhkan nyawa terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan empat daripada lima remaja perempuan yang hanyut dan turut dibantu sepasang suami isteri yang memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Sementara itu, Amirul Naim berkata, ketika kejadian, beliau dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah di Changkat Lada sebelum terjumpa seorang daripada mangsa berada dalam keadaan lemah di tepi jalan.

"Selepas diberitahu kejadian, saya segera ke tebing manakala isteri cuba menenangkan mangsa dan memberi arahan kepada mangsa lain dari tepi jalan, saya tidak benarkannya turun ke tebing kerana sedang mengandung tiga bulan," katanya.

Menurutnya, mereka berdua memang mempunyai sijil bantuan awal pertolongan cemas dan bersyukur kerana berpeluang menyelamatkan kumpulan remaja terbabit.

"Saya terharu walaupun kejadian berlaku bulan lalu tetapi mereka masih mencari kami untuk mengucapkan terima kasih. Penghargaan terima kasih dan ingatan itu sudah cukup bermakna buat kami," katanya.

Muhammad Nor Imran yang sebelum ini menerima penghargaan daripada kerajaan negeri terharu apabila menerima kunjungan empat remaja berkenaan yang datang bersama ahli keluarga.

"Setiap yang berlaku ada hikmahnya seperti kejadian ini. Walaupun sudah berakhir tetapi silaturahim antara kami tetap berkekalan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!