Pasukan Liga-M boleh mula latihan

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) boleh kembali memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial tiga hingga lima meter antara setiap pemain semasa latihan.

"Bagaimanapun, keputusan mesyuarat masih kekal tidak membenarkan sukan berpasukan seperti bola sepak dimainkan secara permainan.

"Hanya latihan dibenarkan tetapi mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula gimnasium,dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker dan pusat-pusat sukan yang lain bermula 15 Jun ini.

"Bagaimanapun, operator kompleks atau pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan SOP dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)

"Mesyuarat juga bersetuju untuk memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan di dalam atau luar dewan bermula 15 Jun.

"Kebenaran ini perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat,berlari atas treadmill dan tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak,hoki dan ragbi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Ismail mengingatkan penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih kekal tidak dibenarkan untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai.

Menurutnya, aktiviti sukan air di kolam renang juga masih kekal tidak dibenarkan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dan menyelaraskan SOP yang lebih terperinci sebelum membuat keputusan.