396 PATI, 106 tekong ditahan cuba bolos sempadan negara

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -fotoBERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 396 Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan 108 tekong telah ditahan dalam Operasi Benteng kerana mencuba memasuki sempadan negara secara haram sejak 1 Mei lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi yang melibatkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu turut berjaya menahan 11 individu yang disyaki penyeludup serta 13 kapal.

“Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 140 PATI, enam tekong serta 22 kapal yang cuba untuk membolosi kawasan sempadan negara.

“Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa seramai 60 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, daripada jumlah itu, 53 individu telah direman dan tujuh lagi dijamin polis manakala 277 individu dikenakan kompaun atas atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB termasuk 34 kompaun di sekatan jalan raya.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 75,182 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPB.

“PDRM juga telah mengenakan 133 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 194,450 kenderaan berbanding 225,345 kenderaan hari sebelumnya. 

Artikel Berkaitan:

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada semua pihak amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya.