X

Kindly register in order to view this article
!

Agong teras perpaduan, dekat di hati rakyat

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diharap terus menjadi teras perpaduan masyarakat berbilang etnik di negara ini.

Seri Paduka Baginda juga diharap terus memimpin rakyat dan negara untuk mengekalkan keharmonian serta keamanan yang dinikmati.

Harapan ini disuarakan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah hari ini.

Menurut beliau, sifat rendah hati dan keterbukaan Seri Paduka Baginda yang mesra, mudah bergaul dan prihatin serta ‘dekat di hati’ rakyat, bukan sahaja selari dengan kehendak masyarakat bahkan secara tidak langsung dapat merapatkan ‘jurang’ hubungan antara institusi beraja dan rakyat.

“Seri Paduka Baginda ibarat ‘jambatan hubungan mesra’ antara raja dengan rakyat apabila baginda sering kali ‘turun padang’ melihat nasib rakyat. Ini termasuk sikap mengambil berat dan sanggup turun dari kenderaan untuk mengetahui nasib rakyat yang ditimpa kemalangan serta memberi bantuan.

“Seri Paduka Baginda juga antara lain sudi berhenti dan singgah di kedai dan gerai makan serta bergaul mesra dengan seluruh rakyat. Keistimewaan itu membuatkan rakyat berasa kagum, terharu dan lebih menghormati keperibadian baginda dan juga Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya kepada Bernama.

Berjiwa Besar

Mohd Mahadee menambah, Seri Paduka Baginda juga turut berperanan kepada pengukuhan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, patriotik, nasionalis dan berjiwa merdeka.

Menurut beliau lagi, Seri Paduka Baginda telah memacu kesinambungan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila berjaya menangani krisis politik negara yang berlaku sebelum ini dengan tenang, adil, berhikmah serta mendapat sokongan serta mandat daripada Majlis Raja-Raja dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.

“Baginda seringkali mengingatkan rakyat agar terus menjaga hubungan baik antara etnik dan tidak menimbulkan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan perpaduan termasuklah penyebaran berita palsu dan tidak benar.

“Baginda juga dilihat sebagai seorang raja yang berjiwa besar apabila sering kali menegaskan supaya kepentingan dan kebajikan rakyat terus dijaga termasuk ketika krisis koronavirus (Covid-19) di mana keperluan rakyat dijamin mencukupi serta aspek kesihatan sentiasa diberi keutamaan.

“Sebagai balasan, rakyat harus memainkan peranan dengan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan negara seperti mana yang ditekankan dalam prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.

Raja Berperlembagaan

Berkongsi pandangan, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, Yang di-Pertuan Agong diharap terus memperkukuh amalan Raja Berperlembagaan di negara ini di samping berperanan sebagai simbol kedaulatan tertinggi negara.

“Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara diharap akan terus menjadi pemacu kepada model pemerintahan terbaik berlandaskan syariat Islam seperti mana yang digariskan oleh Majlis Raja-Raja serta perkara lain yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Raja Berperlembagaan berdasarkan prinsip Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri (lazimnya Perdana Menteri) serta berdasarkan peruntukan undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Amalan sistem ini dapat mengimbangi kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah dan rakyat selaku yang diperintah. Peranan timbal balik antara raja dan rakyat amat penting dalam meneruskan tradisi ini,” katanya.

Tambah Nik Ahmad Kamal, selain berperanan sebagai Ketua Angkatan Tentera dan bergerak dalam tiga badan utama negara iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, Seri Paduka Baginda juga adalah pemangkin kepada perpaduan kaum serta kemajuan Malaysia di samping menjadi inspirasi kepada semua pihak.

“Rakyat perlu lebih peka dan memahami kepentingan institusi beraja. Usaha dan penerangan berterusan di semua peringkat perlu dijalankan bagi memastikan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia terus dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Ruangan Sisi

Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari ini, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

Beliau berkata, Seri Paduka turut menyeru rakyat terus bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!