Liga M3: Penaja tarik diri, kekangan kewangan

Yusoff
Yusoff
A
A
A

Penarikan diri penaja selain kekangan kewangan dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat antara faktor pembatalan saingan Liga M3 musim ini.

Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan pembatalan berkenaan dibuat pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini dalam demi menjamin kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Menurut Yusoff, keputusan pembatalan itu turut mengambil kira impak kepada kedudukan kewangan kelab-kelab amatur dalam Liga M3.

"Keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim ini berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana kebanyakan perlawanan Liga M3 diadakan di venue secara terbuka dan ia pasti menyukarkan pelaksanaan SOP bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung selepas MKN tidak membenarkan sebarang perhimpunan beramai-ramai.

"Selain itu kekangan kewangan pasukan Liga M3 yang terhad bagi mengikuti SOP termasuk menyediakan peralatan yang diwajibkan oleh MKN dan KKM bagi proses saringan Covid-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan turut diambil kira memandangkan ia hanya akan menambahkan perbelanjaan pasukan tuan rumah.

“Tambah memeritkan, kita dapat lihat penaja-penaja pasukan tidak menyambung kontrak dan ada yang terpaksa berundur gara-gara perniagaan mereka mengalami kerugian disebabkan pandemik Covid-19 dan sekali gus perkara ini akan membantutkan persediaan pasukan dari segi kewangan,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Tambah Yusoff, AFL juga tidak bercadang untuk meneruskan Liga M3 pada September 2020 memandangkan baki 16 perlawanan yang akan diharungi oleh semua pasukan tidak dapat ditamatkan pada penghujung Disember setelah Liga M3 ditangguhkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Katanya, saingan Liga M3 musim 2020 masih berbaki 16 perlawanan tidak termasuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final yang menggunakan format dua kumpulan dengan empat pasukan terbaik akan ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan final.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pemain-pemain pasukan amatur Liga M3 adalah kakitangan kerajaan atau pihak swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu sahaja iaitu di luar waktu kerja dan melihat kepada situasi ini, nyata amat sukar untuk beberapa pasukan mematuhi SOP yang ketat jika Liga M3 kembali bersambung kelak.

"AFL juga sedang merancang mekanisme terbaik bagi membantu kelab-kelab amatur berkenaan selain turut 'membuka pintu' kepada semua pasukan untuk memberikan cadangan atau pandangan masing-masing.

“Selain itu proses penstrukturan Liga M3 yang memasuki minggu ketiga dan sepatutnya bermula pada tahun 2021 akan dikaji semula secara terperinci oleh AFL di mana penstrukturan semula yang dirancang itu akan dibentangkan serta dimaklumkan kemudian selepas memahami detik sukar pasukan-pasukan dalam mengharungi pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata pihak MFL turut menyarankan agar penganjur-penganjur Liga M4 untuk turut sama membatalkan penganjuran Liga M4.

Bagaimanapun katanya, penamatan kontrak atau perjanjian pemain dan pegawai pasukan harus mengikuti undang-undang negara berkaitan akta-akta kontrak selain mencapai persetujuan bersama di antara kedua pihak.

“Segala perkara berhubung Liga M3 adalah di bawah kuasa Ahli Lembaga Pengarah MFL dan sebarang pemakluman atau penambahbaikan akan dimaklumkan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL bersidang,” katanya.

Sebagai makluman, 12 pasukan terdiri daripada Liga M3 dan Liga M4 yang telah layak ke pusingan kedua Piala FA 2020 juga telah terbatal kelayakan masing-masing setelah MFL memutuskan untuk tidak meneruskan saingan Piala FA sekiranya pihak kerajaan membenarkan Liga M disambung semula.