Covid-19: Tiada lagi zon hijau di Selangor

Maklumat info grafik yang dikongsikan STFC mengenai kes Covid-19 di Selangor
Maklumat info grafik yang dikongsikan STFC mengenai kes Covid-19 di Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada lagi zon hijau direkod di daerah di Selangor susulan Sabak Bernam yang diisytihar sebagai satu-satunya kawasan zon hijau wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini pada 27 Mei lalu kembali kepada zon kuning setakat jam 12 tengah hari semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi infografik dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, terdapat satu kes aktif baharu direkodkan di mukim Pancang Bedena selain kes aktif di Teluk Panglima Garang dan Dengkil.

"Dengan ini, daerah Sabak Bernam telah menjadi zon kuning.

“Secara keseluruhannya, tiada lagi daerah zon hijau di Selangor,” menurut kenyataan dikeluarkan.

Setakat semalam, 12 kes baharu direkodkan di Selangor menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 1,965.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,624 pesakit dilaporkan telah sembuh manakala 217 kes lagi masih aktif.

Sebanyak 23 kes kematian dilaporkan akibat dijangkiti Covid-19 di Selangor dan dua daerah masih ditakrif zon merah masing-masing Hulu Langat (91 kes aktif) dan Sepang (66 kes aktif).

STFC dalam pada itu mengingatkan warga Selangor supaya terus membiasakan norma baru sebagai rutin harian di atas peringatan yang kerap diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Pengamalan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri dan juga memakai topeng muka perlu menjadi sebahagian tabiat dan rutin harian,” menurut kenyataan itu lagi.