Doa pemimpin negara buat Al-Sultan Abdullah...

Pemimpin kerajaan dan ahli politik merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka, hari ini.
Pemimpin kerajaan dan ahli politik merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin kerajaan dan Ahli Parlimen merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan keprihatinan Al-Sultan Abdullah amat luar biasa dalam membantu menangani koronavirus (Covid-19), termasuk menangguhkan semua acara sambutan ulang tahun keputeraannya.

“Seri Paduka Baginda berangkat turun padang melihat sendiri bagaimana para petugas barisan hadapan memikul tanggungjawabnya di hospital dan di jalan raya dan ketika bertitah merasmikan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, baginda mengajak semua Ahli Parlimen berdiri dan bertepuk tangan mengucapkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang berjuang menyelamatkan rakyat daripada Covid-19.

“Keprihatinan Seri Paduka terhadap untung nasib rakyat mendapat pujian satu negara. Prinsip “Raja dan rakyat berpisah tiada” adalah amalan baginda. Hal yang sama diamalkan oleh Permaisuri Agong dan ahli-ahli keluarga baginda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam hantaran di akaun Facebook rasminya menitip doa kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Patik dan sekalian rakyat berdoa semoga Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kekal bersemayam di singgahsana dengan segala kemuliaan dan kebesarannya, dilanjutkan usia dalam keafiatan (sihat walfiat) dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah (terpelihara) ALLAH SWT," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di Facebook turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dilanjutkan usia dan pemerintahan Seri Paduka dirahmati ALLAH.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam memimpin negara bukan sahaja melambangkan perpaduan nasional dan kestabilan sosial malah benar-benar telah mengupayakan negara dalam melalui saat yang mencabar ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Seri Paduka juga telah membangkitkan kesedaran yang mendalam mengenai keupayaan kita sebagai sebuah negara sekali gus meyakinkan rakyat untuk menerima serta berdepan setiap cabaran," katanya.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui media sosial mereka turut merafak sembah dan memberi ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka.

"Patik bagi pihak Pakatan Harapan dan Keadilan (PKR) mendoakan ke hadrat ALLAH SWT semoga Ke bawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-NYA serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan," kata Anwar. - Bernama