Cadangan wujud pasukan khas 'Pendidikan Rukun Negara' dibawa ke Kabinet

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menyediakan kandungan dan program jangka panjang ‘Pendidikan Rukun Negara’ akan di bawa ke Kabinet untuk kelulusan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hasil perbincangan pihaknya pada 4 Jun lepas bersetuju bahawa pasukan itu akan diketuai oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Tujuannya ialah supaya Rukun Negara diserapkan secara formal dan tidak formal, dan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan medium, agar ia benar-benar dijiwai dalam hati secara berkekalan dan berkesan.

“Semua ini adalah dengan matlamat untuk memperbaharui komitmen dan meningkatkan penghayatan Rukun Negara, termasuklah kefahaman terhadap kepentingan dan peranan Institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menjelas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya turut mencadangkan beberapa aktiviti bagi Program Khas Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020 yang akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, Saifuddin turut menekankan peranan Ketua Utama Negara Malaysia itu sebagai payung perpaduan rakyat.

Katanya, pengisytiharan Rukun Negara oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah pada 31 Ogos 1970 telah menyelamatkan negara dengan cara memupuk kembali perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ia susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: