Buruh diberkas bersama 830 botol ubat batuk berisi dadah

Polis merampas 830 botol ubat batuk dipercayai mengandungi dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Jumaat lalu.
Polis merampas 830 botol ubat batuk dipercayai mengandungi dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang buruh yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas di kediamannya di Bandar Saujana Putra, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.40 malam hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 10 bungkusan plastik warna putih berisi 830 botol ubat batuk yang disyaki mengandungi dadah.

"Suspek yang mempunyai rekod lampau bersabit kes di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada tahun 2016 itu kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang disyaki aktif sejak Oktober tahun lalu itu memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Bandar Saujana Putra," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan kenalan suspek itu, mereka hanya berurusan melalui talian telefon.

Katanya, suspek berusia lingkungan 40-an kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu lain yang terlibat dalam kes terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: