FOUM desak kerajaan negeri lindung Hutan Ulu Muda

Hutan Ulu Muda dikatakan mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada RM1.5 bilion dari segi sosioekonomi.
Hutan Ulu Muda dikatakan mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada RM1.5 bilion dari segi sosioekonomi.
A
A
A

GEORGETOWN - Badan bukan kerajaan, Friends of Ulu Muda (FOUM) mendesak Kerajaan Negeri Kedah mengutamakan pemuliharaan dan perlindungan Hutan Ulu Muda seluas 160,000 hektar selain membangunkan sumber pendapatan lestari.

FOUM dalam satu kenyataan berharap, aktiviti pembalakan tidak akan dimulakan semula di kawasan tersebut.

Menurutnya, pengumuman Kerajaan Kedah yang berhasrat memulakan semula pembalakan bagi mengelak tuntutan undang-undang berjumlah RM1.5 bilion daripada 40 syarikat pembalakan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

"Hutan Ulu Muda mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada RM1.5 bilion dari segi sosioekonomi. Ia perlu dipelihara kerana hutan itu merupakan identiti dan warisan Kedah serta wilayah sekitarnya. Hutan merupakan kunci kemakmuran wilayah utara Semenanjung Malaysia kerana ia membekalkan air untuk sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu balak: Tujuh NGO Kedah kemuka cadangan

Mana mai sampai RM1 bilion, Mukhriz bidas Sanusi

Kedah tidak berhasrat teroka kawasan baharu pembalakan

"Sebagai contoh, Empangan Muda, Pedu dan Ahning mengawal bekalan air minum untuk 4.2 juta orang dan menyokong aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan tahunan yang dianggarkan sebanyak RM150.5 bilion kepada Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan media tadi.

Tambahnya, saliran air dari Hutan Ulu Muda membolehkan penanaman padi dua kali setahun di Kedah dan Perlis, yang mana ia menyumbang sehingga 50 peratus pengeluaran padi negara.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan krisis koronavirus (Covid-19) dan kesannya yang mengganggu bekalan beras import, Kedah boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jaminan bekalan makanan Malaysia. Bagaimanapun, kemusnahan hutan Ulu Muda boleh menjejaskan pengeluaran padi dan punca pendapatan 48,500 petani.

"Hutan Ulu Muda memiliki keindahan alam semula jadi yang tidak ternilai dan kepelbagaian biologi yang penting, termasuk habitat pelbagai spesies hidupan liar yang terancam seperti gajah Asia; beruang matahari; tapir; tenggiling, ungka tangan hitam dan lebih 320 spesies burung. Ia merupakan satu daripada hanya dua lokasi di Malaysia di mana semua 10 spesies burung enggang Malaysia boleh ditemui," katanya.

FOUM menambah, Hutan Ulu Muda turut memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon dan dalam meningkatkan daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim.

"Kita percaya mekanisme pembiayaan lestari seperti pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem yang diperkuatkan dengan komitmen dan kebertanggungjawaban yang tinggi adalah langkah yang sesuai untuk maju ke hadapan. Ia membolehkan Kerajaan Kedah memperoleh sumber pendapatan lestari untuk jangka masa panjang daripada perkhidmatan ekosistem Hutan Ulu Muda.

"Dana daripada agensi antarabangsa, kerajaan Persekutuan dan pihak lain juga perlu dicari untuk menyokong Kerajaan Kedah dalam usaha melindungi kawasan tersebut di samping mengekalkan sumber pendapatan negeri. FOUM berharap Kerajaan Kedah mengutamakan perlindungan Hutan Ulu Muda dengan mempertimbangkan kesejahteraan rakyat, negeri dan alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, FOUM menawarkan sokongan dari segi kepakaran teknikal dan khidmat nasihat mengenai rancangan pembangunan mampan dan mesra alam bagi melindungi Hutan Ulu Muda selain membantu menyokong pemulihan pasca Covid 19 di rantau ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri berdepan tuntutan ganti rugi RM1.5 bilion daripada 40 syarikat pembalakan yang diberikan hak membalak di Hutan Simpan Ulu Muda selepas konsesi mereka dibatalkan kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, antara cadangan adalah membuka kembali konsesi balak di luar Ulu Muda sebagai opsyen menggantikan kawasan lain kepada syarikat konsesi terlibat atau berdepan tindakan mahkamah atau membayar ganti rugi.