'Dah boleh balik kampung Rabu ini, tapi patuhlah SOP'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada sambutan Aidilfitri yang lalu, ramai perantau sayu, khususnya ketika mendengar lagu-lagu raya kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman, namun bermula Rabu ini, lagu 'Balik Kampung' dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pastinya trending kerana pergerakan pulang ke destinasi yang didambakan itu dibenarkan.

Berita gembira itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir esok (Selasa), sekali gus menyaksikan larangan rentas negeri ditarik balik.

Kebenaran rentas negeri itu pastinya menamatkan kerinduan warga kota termasuk golongan bujang yang mahu pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapa selepas 'terpisah' hampir tiga bulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

Pastinya, jumlah kenderaan di lebuh raya utama akan meningkat selepas Rabu ini, kerana orang ramai tidak perlu lagi 'mencuba nasib' merentas negeri pulang ke kampung halaman.

Majikan juga pasti akan menerima lambakan permohonan cuti daripada pekerja masing-masing.

Malah, sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini pasti akan lebih meriah selepas perayaan dan ibadah korban turut dibenarkan, namun perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam.

Serentak itu juga, lebih banyak kebenaran diberikan antaranya aktiviti komersil melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan, lawatan ke muzium, aktiviti ‘indoor busking’, akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersil dalam tempoh PKPP itu, manakala kelonggaran bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula sedang diteliti.

Namun, masih terdapat beberapa aktiviti dilarang antaranya perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka serta beberapa jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan badan, penonton dan perhimpunan penyokong.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan fasa pemulihan ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik juga dibenarkan, namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, kenalah ‘tunggu dahulu’ kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini.

Sudah pastinya perkembangan itu boleh dianggap sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Apapun masih terdapat beberapa perkara perlu diperjelaskan lebih lanjut khususnya mengenai SOP penggunaan fasiliti di hotel.

Sementara itu, bagi ibu bapa pula yang tertanya-tanya tarikh sekolah akan dibuka semula, sektor itu akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP dan pengumuman terperinci mengenainya akan dimaklumkan Kementerian Pendidikan sedikit masa lagi.

Seperti kata perdana menteri, PKPP yang akan dilaksanakan ini adalah fasa ‘exit strategy’ atau strategi keluar negara daripada 'perang' menentang pandemik Covid-19.

Walaupun pelbagai kelonggaran akan diberikan, kita kenalah sentiasa jaga kebersihan diri, pakai pelitup separuh muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung kerana tanggjungjawab mengawal penularan Covid-19 adalah di tangan kita.

Sekiranya kes penularan Covid-19 kembali mendadak, tidak mustahil kerajaan akan mengetatkan semula PKP, maka kita semua akan kembali ‘berkurung’.

Hari ini adalah hari PKP ke-83 dan hari ke-36 PKPB dilaksanakan dan setakat semalam, dilaporkan kes baharu positif Covid-19 kekal pada paras dua digit iaitu 19 kes.

Ini menyaksikan Malaysia kekal berjaya dalam membendung penularan wabak itu dengan berkesan dan kini memasuki fasa pemulihan.

Lantaran itu, kerajaan memutuskan mulai Rabu ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi akan menjalani kuarantin wajib, sebaliknya hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah masing-masing, kecuali mereka disahkan positif ketika saringan di lapangan terbang akan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, mereka ini akan diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan akan dipantau melalui aplikasi berkenaan, selain diwajibkan juga memakai gelang tangan kuarantin bagi memudahkan proses identifikasi. - Bernama