Serangan kafe Dhaka 2016: Suspek ekstremis ditahan

Serangan tersebut disifatkan sebagai paling buruk di Bangladesh.
A
A

DHAKA - BANGLADESH. Pihak berkuasa Bangladesh telah menahan suspek ekstremis yang didakwa membekalkan senjata api dan bahan letupan ketika serangan di sebuah kafe yang meragut 22 nyawa tebusan termasuk 18 warga asing pada Julai 2016.

Semalam, jurucakap unit elit, Mufti Mahmud Khan berkata, lelaki dikenali sebagai Mamunur Rashid berusia 30 tahun itu ditahan ketika dia menaiki bas di luar Dhaka.

"Rashid turut menyalurkan wang untuk serangan tersebut. Dia telah bersembunyi di negara jiran dan cuba untuk menyusun semula kumpulan tersebut. Mereka juga merancang untuk membebaskan rakan mereka daripada tahanan pihak berkuasa," katanya.

Jelasnya, bekas pengendali komputer itu dipercayai menyediakan sokongan logistik untuk kumpulan ekstremis yang terlibat dalam siri serangan berdarah ke atas minoriti di utara negara terbabit.

Bulan lalu, mahkamah membicarakan lapan militan terlibat dalam serangan ganas ke atas kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka yang berlarutan selama 10 jam sebelum pasukan komando menyerbu premis terbabit dan membebaskan kira-kira 24 tebusan lain. - AFP