Cabaran pasangan PJJ

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SALAH satu cabaran bagi pasangan yang telah berkahwin dan bekerjaya adalah jika terpaksa berjauhan atas tuntutan kerja, lebih-lebih lagi sekiranya tempat kerja masing-masing berada di dua negeri yang berbeza.

Ada yang memikirkan untuk melepaskan jawatan dan tinggal bersama keluarga tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana bimbang tidak mendapat pekerjaan lain manakala tanggungan pula besar.

Bagi yang mengamalkan perkahwinan jarak jauh (PJJ), mereka biasanya hanya bertemu sekali dalam seminggu iaitu pada cuti hujung minggu.

Mereka mungkin berpeluang bersama sebagai satu keluarga lebih lama sedikit pada musim perayaan. Bagi wanita, cabaran menjadi lebih berat ketika hamil. Beban emosi bertambah berat apabila mereka terpaksa membesarkan bayi sendirian tanpa bantuan pasangan.

Kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati faktor utama pasangan memilih menjadi ‘keluarga komuter’ (istilah LPPKN bagi pasangan berkahwin tetapi perlu tinggal berjauhan) adalah tuntutan ekonomi seisi keluarga.

Peningkatan kos sara hidup mendorong suami atau isteri atau kedua-duanya untuk bekerja keras demi memenuhi tuntutan keperluan harian keluarga apatah lagi mereka juga perlu menanggung kos berganda kerana perlu menyewa dua rumah berlainan serta kos ulang-alik.

Mereka juga berdepan risiko kemalangan semasa berulang-alik dan risiko itu boleh meningkat disebabkan faktor keletihan sekiranya memandu jarak jauh.

Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. PKP satu terpaksa dilanjutkan hingga ke PKP tiga dan kemudiannya disambung pula dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei sehingga 9 Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali sepanjang PKP dan PKPB yang akan berakhir esok.

Langkah tersebut diambil demi memerangi penularan Covid-19. Pasangan PJJ yang berada di dua negeri menjadi mangsa keadaan. Mereka terpaksa akur dengan keputusan kerajaan walaupun sedih kerana tidak dapat berjumpa pasangan serta anak-anak yang sudah terpisah melebihi dua bulan.

Walaupun teknologi moden menawarkan pelbagai platform maya untuk mereka berhubung, ia tidak sama dengan bersua muka atau berada bersama dengan pasangan serta anak-anak.

Dalam keadaan sekarang, bidang perguruan dan kejururawatan adalah antara kerjaya yang paling berisiko tinggi menyumbang kepada tekanan dan kemurungan dalam kalangan pekerja wanita, terutama mereka yang terlibat dalam hubungan PJJ.

Salah satu jalan penyelesaian masalah ini untuk jangka masa panjang adalah dengan mempercepatkan kelulusan permohonan pertukaran tempat kerja pasangan.

Semoga ada jalan keluar bagi semua pasangan PJJ agar mereka dapat tinggal bersama bagi mewujudkan keluarga bahagia dan masyarakat sejahtera seterusnya melahirkan warga kerja yang berkualiti dengan persekitaran mesra keluarga.

Terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun nanti.

Bagaimanapun, segala langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diamalkan oleh semua masyarakat dalam mencegah penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak dalam komuniti kita.

Beban emosi bertambah berat apabila mereka terpaksa membesarkan bayi sendirian tanpa bantuan pasangan.”