Rakyat disaran rebut peluang semarakkan industri pelancongan

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyeru seluruh rakyat Malaysia memanfaatkan kelonggaran diberikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menyemarakkan semula industri pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang membenarkan aktiviti pelancongan domestik bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan pengumuman Perdana Menteri yang jelas menyatakan bahawa selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara, tiada lagi sekatan rentas negeri serta pelancongan domestik akan dibenarkan.

"Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini akan digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Dalam tempoh PKPP itu, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Nancy berkata, sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan sub-sektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

Katanya, sebagai menyokong pengumuman Perdana Menteri, beliau menyarankan seluruh rakyat di negara ini mengambil peluang tersebut untuk sama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan, seni, budaya dan warisan negara.

Artikel Berkaitan:

"Keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negara kita adalah untuk kita kunjungi, terokai dan menikmatinya seperti muzium, keindahan alam semula jadi dan hasil kraftangan.

"Kepada penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pelbagai segmen ekonomi dan masyarakat, teruskan usaha untuk menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif," katanya.

Bagaimanapun, Nancy berkata, semua aktiviti yang dijalankan perlu dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dengan mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Perlu diingat kita masih lagi perlu memastikan wabak koronavirus (Covid-19) kekal terkawal," katanya.