PRK Dun Semenyih: Calon ditentukan minggu depan

Amirudin (belakang, empat, kanan) bersama ahli jawatankuasa penganjur Kejohanan Golf Amal Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7.
A
A

BANTING – [DIKEMASKINI] PH Selangor akan bermesyuarat minggu depan bagi menentukan calon bagi PRK Dun Semenyih.

Pengerusinya, Amirudin Shari berkata, semua parti berhak menghantar senarai calon masing-masing, bagaimanapun keutamaan diberikan kepada Bersatu.

“Kita akan bermesyuarat untuk tentukan (calon) dan buat masa ini semua parti boleh mencadangkan senarai nama calon yang berminat, namun keputusan akhir tertakluk kepada Majlis Presiden. Pastinya calon Bersatu di kawasan itu perlu bersedia.

“Dalam minggu depan kita akan putuskan dari mana dan siapa yang akan bertanding pada PRK Dun Semenyih,” katanya selepas Kejohanan Golf Amal Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7 di sebuah resort di sini, hari ini.

Menurutnya, PRK Dun Semenyih bukan tugas kerja individu sahaja sebaliknya ia kerja berkumpulan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Besar Selangor menyambut baik cadangan untuk melakukan saringan kesihatan kepada mana-mana calon yang mahu bertanding dalam pilihan raya.

“Empat PRK sebelum ini juga diadakan disebabkan Adun meninggal dunia akibat masalah kesihatan dan kemalangan. Oleh itu kita akan perhalusi cadangan ini pada masa akan datang,” katanya.

PRK Dun Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada Umno yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Dun Semenyih adalah yang PRK keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Selangor sebelum ini mengadakan tiga PRK iaitu di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.