Lantik segera anggota panel pemantau SPRM

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Johan Jaaffar memandang serius dakwaan yang dibuat bekas pembantu bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini.

Siti Nurul Hidayah mendakwa diugut dan dikasari oleh pegawai SPRM ketika beliau hadir memberikan keterangan.

“Sebarang dakwaan atau tuduhan perbuatan tidak profesional atau tidak beretika yang dilakukan oleh pegawainya akan menjejaskan nama baik SPRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau yang pernah mengetuai PPPR selama empat tahun bagaimanapun menganggap SPRM menjalankan tugas dan amanah dengan baik.

“Saya menaruh keyakinan tinggi pada profesionalisme dan integriti pegawai SPRM,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan tindakan SPRM membuat laporan polis untuk menyiasat tuduhan itu. Selain itu, beliau meminta kerajaan segera melantik keanggotaan dua panel utama bagi memantau SPRM.

"Panel itu ialah PPPR dan Panel Penilaian Operasi. Tiga badan pemantau yang lain juga perlu diisi keahliannya yakni Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

"Kelima-lima badan bebas ini diwujudkan bagi memantau keseluruhan perjalanan SPRM. Hanya dengan cara itu, SPRM akan dilihat oleh rakyat sebagai bebas, cekap, berkesan, telus dan punya akauntabiliti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nafi ugut, herdik pembantu Syed Saddiq

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, SPRM menafikan dakwaan Siti Nurul Hidayah bahawa beliau diugut, diherdik dan dipaksa untuk memberi keterangan seperti yang tular di media sosial.