Tujuh lelaki dikompaun tonton lumba haram

 Enam daripada tujuh yang ditahan kerana berhimpun menyaksikan lumba kereta haram sedang menunggu surat kompaun masing-masing di Balai Polis Kerteh, di sini (Foto: Ihsan IPD Kemaman)
Enam daripada tujuh yang ditahan kerana berhimpun menyaksikan lumba kereta haram sedang menunggu surat kompaun masing-masing di Balai Polis Kerteh, di sini (Foto: Ihsan IPD Kemaman)
A
A
A

KEMAMAN - Tujuh lelaki termasuk seorang remaja berusia 18 tahun dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul menyaksikan perlumbaan kereta haram, Jumaat lalu.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 21 tahun yang merupakan pekerja di sebuah restoran makanan segera ditahan sempena Op Covid-19, di Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, kawasan Perindustrian Petronas Kerteh, di sini jam 1.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semasa tiba di lokasi, kesemua mereka didapati sedang asyik menonton perlumbaan kereta haram oleh dua pelumba.

"Mungkin disebabkan terlalu 'ralit' (leka), mereka langsung tidak menyedari kehadiran anggota di lokasi selain kawasan tersebut sudah dikepung, jadi mereka tidak dapat meloloskan diri.

"Bagaimanapun, dua pelumba berkenaan berjaya melarikan diri selepas nekad merempuh halangan yang ada di lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, hasil soal siasat, ketujuh-tujuh lelaki berkenaan memberi alasan singgah sebentar di lokasi selepas pulang dari tempat kerja untuk menonton perlumbaan tersebut kerana bosan berada di rumah selain tiada kawan untuk bersembang.

"Kesemuanya dikenakan kompaun kerana berhimpun dan laporan dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman untuk pembayaran kompaun berkenaan dalam tempoh 14 hari.

"Mereka juga sudah diberi penjelasan sekiranya gagal membayar kompaun dalam tempoh diberikan, pendakwaan di mahkamah akan dibuat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semua individu terbabit dikenakan kompaun mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.