NUTP sokong pelan pembukaan sekolah secara berperingkat

AMINUDDIN
AMINUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong sepenuhnya pelan pembukaan sekolah secara berperingkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa Rabu ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pelan pembukaan sekolah secara berperingkat merupakan langkah terbaik dan sangat bersesuaian dengan perkembangan terkini berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“NUTP memberi sokongan penuh terhadap pelan pembukaan sekolah secara berperingkat sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihak sekolah akan memainkan peranan penting dengan mengambil langkah yang berkesan ke arah menghalang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan murid di sekolah.

“Semua pentadbir dan guru sekolah kini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Ini kerana, beliau berkata, pematuhan terhadap SOP tersebut ialah teras utama proses pengurusan persekolahan nanti.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat dalam tempoh PKPP setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada perutusan khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan rangkaian media sosial sebentar tadi.

Kata Muhyiddin, KPM akan membuat pengumuman terperinci mengenai pelan berkenaan sedikit masa lagi.

Artikel Berkaitan: