Operasi pasar terbuka, bazaria bermula 15 Jun

Pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini. - Foto 123RF
Pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka secara berperingkat di lokasi terpilih bermula 15 Jun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kelulusan operasi itu hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL bermula Rabu depan.

Menurutnya, peniaga dan pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kegagalan pematuhan tersebut boleh dikenakan tindakan penutupan serta-merta di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"Di bawah peruntukan ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh mengenakan syarat tambahan, mengubah atau membatalkan syarat ke atas lesen dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penguatkuasaan termasuk penyitaan peralatan penjajaan dan penutupan operasi perniagaan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1974 boleh dilaksanakan sekiranya didapati melanggar peraturan.

Selain itu beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bagi sektor perniagaan itu semalam yang tertakluk dengan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia termasuk waktu operasi yang terhad bagi pasar pagi dan pasar terbuka (6 pagi hingga 11 pagi), pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazaria (5 petang hingga 11 malam).