Pokok hempap rumah ketika basuh pinggan

Keadaan rumah pasangan suami isteri yang ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Tengar Selatan, Sungai Air Tawar di sini.
Keadaan rumah pasangan suami isteri yang ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Tengar Selatan, Sungai Air Tawar di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang wanita yang sedang membasuh pinggan di dapur dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat akibat pokok kelapa sawit tumbang di rumah mentuanya di Kampung Sungai Tengar Selatan, Sungai Air Tawar di sini semalam.

Siti Rosnani Jamal, 43, yang turut terkejut dengan kejadian kira-kira jam 2 petang itu berkata, pokok terbabit tumbang turut menimpa pangkin yang menjadi tempat ibu mentuanya, Suriyah Suratman, 69, berehat.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana ibu dan bapa mentuanya, Abd Rashid Parman, 77, selamat dan kedua-duanya berada dalam rumah menonton televisyen ketika kejadian.

"Selalunya, ibu mentua menghabiskan masa dengan berehat di pangkin itu namun semalam, dia mungkin berubah fikiran dan menonton televisyen bersama suaminya.

"Saya bersyukur tiada kecederaan berlaku meskipun masih terkejut dengan kejadian pokok kelapa sawit tumbang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Rosnani berkata, beliau kemudian segera menghubungi suaminya dan penduduk kampung memaklumkan kejadian terbabit.

Dalam pada itu, nasib menimpa keluarga tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yang turut memberikan sumbangan bantuan wang tunai.

"Kita simpati dengan nasib menimpa mereka dan bersyukur semuanya selamat dalam kejadian ini," kata Rizam.

Artikel Berkaitan: