19 kes baharu, tiada kematian

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 19 kes baharu jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 8,322 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 19 kes baharu yang dilaporkan, enam daripadanya ialah kes import manakala sebanyak 13 kes pula melibatkan penularan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah 13 kes itu, sebanyak 11 kes membabitkan warganegara Malaysia dan dua kes bukan warganegara.

"Sebanyak 11 kes dalam kalangan warganegara itu membabitkan enam kes di Selangor, dua kes di Wilayah Persekutuan, satu kes di Negeri Sembilan dan dua kes di Sabah," katanya pada sidang akhbar mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 6,674 kes.

"Ingin dimaklumkan bahawa tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kekal 117 orang," katanya.

Artikel Berkaitan: