PDRM rangka penugasan baharu PKPP: KPN

Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir Selasa ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP tersebut.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya kepada Bernama disini, hari ini.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Selain itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan, beliau berkata, ia sudah tidak ada keperluan.

“Buat saat ini, SJR untuk PKPP ini jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada penjarakan sosial,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan Covid-19 ini belum berakhir.

Artikel Berkaitan:

Antara inti pati PKPP ialah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD. - Bernama