Dua bot nelayan asing bernilai RM2 juta ditenggelamkan

Che Abdullah (tiga dari kiri) membunyikan hon sebagai tanda bermulanya operasi menenggelamkan bot-bot berkenaan.
Che Abdullah (tiga dari kiri) membunyikan hon sebagai tanda bermulanya operasi menenggelamkan bot-bot berkenaan.
A
A
A

BACHOK - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menenggelamkan dua buah bot nelayan asing yang dianggarkan bernilai RM2 juta di perairan Terengganu pada kedudukan kira-kira 5.7 batu nautika dari Pulau Perhentian, di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pelupusan dengan cara menenggelamkan bot-bot berkenaan bertujuan menjadikannya sebagai tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin yang berpotensi menggalakkan pembiakan hidupan laut.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 352 bot nelayan asing dan tempatan sudah dijadikan tukun tiruan di Malaysia dan 341 daripadanya telah ditenggelamkan di perairan Pantai Timur.

Bot yang menjalankan operasi penenggelaman (kanan) menghampiri salah satu bot nelayan asing untuk melakukan prosedur yang sepatutnya.
Bot yang menjalankan operasi penenggelaman (kanan) menghampiri salah satu bot nelayan asing untuk melakukan prosedur yang sepatutnya.

"Kesemua bot yang ditenggelamkan itu adalah bot yang dirampas atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bagi menyaksikan operasi pelupusan tersebut tadi.

Menurutnya, sehingga Mei 2020, sebanyak 172 tangkapan berjaya dilakukan melibatkan 6,968 pemeriksaan melalui Op Naga melibatkan hasil keseluruhan bernilai RM24.5 juta.

Salah satu bot yang ditenggelamkan dalam operasi berkenaan.
Salah satu bot yang ditenggelamkan dalam operasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kerajaan kini sedang menumpukan kepada usaha memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) dengan menguatkuasakan Op Benteng, Maritim Malaysia tetap melaksanakan tugas penguatkuasaan rutin dengan meningkatkan lagi pemantauan dalam mengekang pencerobohan bot nelayan asing menerusi Op Naga.

"Ia bagi mengelakkan hasil laut kita dijarah dan mengawal potensi penularan wabak berkenaan oleh warga asing yang menceroboh perairan negara," katanya.