Lebih 3,000 pengunjung meriahkan perasmian FASM 2018

Sungai Melaka
Sungai Melaka
A
A
A
MELAKA - Lebih 3,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa hadir memeriahkan perasmian Festival Antarabangsa Sungai Melaka (FASM) 2018 di Dataran Sungai Melaka di sini, hari ini.

Perasmian festival kali ke-12 itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari serta barisan exco kerajaan negeri.

Pengunjung yang hadir dipertontonkan dengan pementasan teater muzikal sejarah bertajuk Parameswara Pengasas Empayar Melaka hampir 30 minit yang dilakonkan barisan artis tanah air termasuk penyanyi Datuk Nashrudin Elias atau Nash yang memegang watak Parameswara.

Pementasan itu memaparkan usaha yang dilakukan Parameswara untuk membina dan menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang terkenal pada masa dahulu dengan menjalin kerjasama beberapa kerajaan termasuk China.

Terdahulu pengunjung dihidangkan dengan persembahan kebudayaan yang mewakili pelbagai kaum di negeri Melaka antaranya Melayu, Baba dan Nyonya dan Portugis, serta pertunjukan bunga api, dan suasana turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Kumpulan Sepahtu.
Artikel Berkaitan:


Adly dalam ucapannya berkata, FASM pada tahun ini melibatkan penganjuran 22 program termasuk lapan acara utama yang bertaraf antarabangsa dari 22 November sehingga 2 Disember ini.

Beliau berkata, semua acara itu dianjurkan selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar Melaka menjadi sebuah pusat pelancongan yang sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti dan mampu menarik kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Festival ini juga dilihat sebagai program 'pemanas badan' bagi Tahun Melawat Melaka 2019 yang sedang rancak dipromosikan," katanya. - Bernama